
Sri Ayu Kartika Amrikartika@hmetro.com.my
PEMBAYARAN gaji pekerja dan ketiadaan pelanggan, mendominasi isu dan cabaran yang dihadapi oleh syarikat serta firma perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penilaian itu diperoleh menerusi 4,094 responden yang menyertai Tinjauan Khas Kesan Covid-19 Kepada Syarikat atau Firma Perniagaan (Pusingan 1) yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara dalam talian bermula 10 April hingga 1 Mei lalu.
“Berdasarkan tinjauan, 88.8 peratus syarikat sendirian berhad menghadapi isu dan cabaran dalam pembayaran gaji pekerja, diikuti ketiadaan pelanggan (63.2 peratus).
“Sebaliknya, (perniagaan) hak milik perseorangan pula menyatakan cabaran utama adalah ketiadaan pelanggan iaitu 70.7 peratus dan diikuti pembayaran gaji pekerja (62.5 peratus),” katanya menerusi satu kenyataan.
Mohd Uzir berkata, 53.4 peratus syarikat hanya mampu bertahan satu hingga dua bulan saja, sekiranya memberi kemudahan cuti bergaji penuh atau separuh gaji kepada pekerja.

Pada masa sama, 25.4 peratus daripada responden pula bertahan antara tiga hingga enam bulan serta 16.5 peratus daripadanya boleh bertahan kurang daripada sebulan.
Beliau berkata, hanya 4.7 peratus syarikat atau firma perniagaan mampu bertahan sehingga melebihi enam bulan.
“Dalam pada itu, 67.8 peratus syarikat menyatakan tiada sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP. Sementara, 12.3 peratus pula memperoleh pendapatan melalui jualan atau perkhidmatan dalam talian dan 9.8 peratus daripada jualan di premis fizikal dan kedai.
“Didapati 83.1 peratus syarikat memerlukan bantuan kewangan atau subsidi daripada kerajaan. Ini diikuti pengurangan cukai syarikat atau mana-mana cukai berkaitan (67.0 peratus) dan 39.1 peratus menyatakan memerlukan penangguhan pembayaran pinjaman dan pindaan polisi atau dasar berkaitan (30.6 peratus),” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 7:15 AM